Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Khamis, 9 Januari 2020 - Sesi Muzakarah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi bersama Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara Bagi Tahun 2020
​Sesi Muzakarah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi bersama Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara telahpun diadakan pada pagi ini bertempat di Bilik Mesyuarat Al-Mahabbah, Tingkat 1, Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Hadir mempengerusikan sesi muzakarah tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. Manakala rombongan Ahli Majlis Mesyuarat Negara seramai 18 orang diketuai oleh Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadi.

Sebelum Sesi Muzakarah dimulakan, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara terlebih dahulu dibawa menyaksikan "Innovation Showcase" dan juga Galeri Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) yang masing-masing memperlihatkan inovasi pintar melalui konsep "Smart Home" sebagai gambaran sepintas lalu cara hidup pintar dalam masa terdekat yang dimudahcara dengan kemajuan teknologi dan inovasi terkini dalam Revolusi Industri 4.0. Sementara itu, Galeri MKKJR turut menonjolkan kemajuan-kemajuan terkini dalam usaha mensasarkan jumlah kematian disebabkan kemalangan jalanraya kepada sifar di negara ini menjelang 2025. Ini termasuk projek bernama RADED (Road Accident Data Development and Enhancement) sebagai sistem database berkomputer yang membolehkan penganalisaan terperinci dalam lebih menstrategikkan inisiatif-inisiatif keselamatan jalan raya secara keseluruhan.



Majlis Sesi Muzakarah kemudian diteruskan dengan didahului oleh bacaan Surah Al-Fatihah serta Doa Selamat oleh Pg Haji Mohd Ismail bin Pengiran Haji Tuah, imam Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Berakas.  Ucapan Alu-aluan disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi yang antaralain mengongsikan:-

i) Rangka kerja Pelan Induk Ekonomi Digital;

ii) Aspek-aspek utama dalam Perancangan Strategik Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi 2025 yang bakal dilancarkan pada tahun ini;

iii) Peranan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi yang semakin meluas yang kini melibatkan antaralainnya aspek sekuriti siber, e-Kerajaan, Sains dan Teknologi dan

iv) Pelan tindakan Kementerian yang disasarkan bagi tempoh lima tahun yang akan datang.



Sesi Muzakarah antara Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara adalah satu platform untuk berbincang secara terbuka dan bertukar-tukar pandangan dalam suasana muhibbah mengenai sektor pengangkutan dan infokomunikasi terutama sekali dalam meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan dan program yang diungkayahkan di bawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi demi kepentingan rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam.

Turut hadir dalam sesi muzakarah tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap Kemeneterian Pengangkutan dan Infokomunikasi; Yang Mulia Awang Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi, Cybersecurity, Strategi dan Korporat); Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Zain bin Pengiran Haji Abdul Razak, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan, Penyelidikan dan Perancangan); Pengarah-Pengarah Bahagian, Ketua-Ketua Jabatan dan Pihak Berkuasa serta Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.




Attachments