Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Khamis, 28 Februari 2019 - Majlis Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah, Sembahyang Fardhu Asar dan membaca Ratib Al-Attas

Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam (MKKJR) mengadakan Majlis Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah dan Ratib Al-Attas pada petang ini, bertempat di Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampong Lambak Kiri.

 

Hadir di majlis tersebut ialah Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan, Penyelidikan dan Perkembangan) selaku Setiausaha MKKJR dan Awang Haji Hairul Mohd. Daud bin Haji Abdul Karim, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi, Cybersecurity, Strategi dan Korporat).

 

Majlis juga turut dihadiri oleh Awang Haji Osman bin Haji Md Jair, Pengerusi Persatuan Insurans dan Takaful (BITA) selaku Ambassador MKKJR; Ahli-ahli MKKJR; Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta agensi-agensi yang berkenaan; dan guru-guru serta seramai 240 penuntut dari Sekolah Ugama Dato Othman, Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampong Lambak Kiri.

 

Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah dan Membaca Ratib Al-Attas ini merupakan acara bulanan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya yang diadakan khusus untuk memohon kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala supaya negara ini, terutamanya pengguna-pengguna jalan raya, sentiasa diberikan perlindungan dari kemalangan dan perkara-perkara yang tidak diingini. Disamping itu juga, acara ini merupakan usaha berterusan MKKJR untuk memohon berkat dalam segala usaha-usaha dan perancangannya kearah meningkatkan keselamatan jalan raya demi kesejahteraan semua.

 

Dalam kesempatan ini, MKKJR terus menyeru kepada semua pengguna jalan raya untuk memulakan setiap perjalanan dengan doa disamping meningkatkan kewaspadaan dengan memberikan tumpuan dan perhatian penuh ketika memandu di jalan raya serta mengamalkan sikap pemanduan yang berhemah.

 

Pemandu-pemandu juga terus diseru untuk sentiasa mementingkan keselamatan serta mengamalkan pemakaian tali pinggang keledar, tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan untuk sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan serta tanda-tanda isyarat lalulintas yang dipamerkan demi menjaga keselamatan bersama dan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

 

Disediakan oleh:

Unit Perhubungan Korporat

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi

Negara Brunei Darussalam


Attachments