Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam mengadakan Majlis Membaca Surah
Yasin dan Tahlil secara maya pada petang ini sempena Sambutan Hari Kajicuaca Sedunia 2022. Majlis
didahului dengan bacaan Surah Yasin, Tahlil beramai-ramai diikuti dengan bacaan Doa Selamat dan
Doa Dihindari Dari Wabak Penyakit Covid-19.
Hadir secara maya di majlis ini ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin
Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Awang Mohammad Yusof, Menteri Pengangkutan dan
Infokomunikasi.
Selaku ahli kepada Pertubuhan Kajicuaca Sedunia (WMO), negara kita mengadakan majlis ini untuk
turut sama memperingati 23 Mac iaituu tarikh tertubuhnya badan saintifik dunia ini yang berada di
bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1950. Disamping itu, hari bersejarah
ini juga diraikan bagi menghargai sumbangan-sumbangan penting yang diberikan oleh
Perkhidmatan-Perkhidmatan Kajicuaca dan Hidrologi Kebangsaan di seluruh dunia dalam
memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. Pada tahun ini tema sambutan ialah
‘Amaran Awal dan Tindakan Awal atau ‘Early Warning and Early Action’.
Turut hadir secara maya di majlis ini ialah Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap
(Infokomunikasi), Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Pengarah Jabatan
Kajicuaca Brunei Darussalam selaku Pengerusi Majlis, Ketua-Ketua Eksekutif, Ketua-Ketua Jabatan,
Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai dan Kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi,
Jabatan-Jabatan serta Agensi-Agensi Pihak Berkuasa di bawahnya.
Disediakan oleh:
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
Negara Brunei Darussalam
19 Sya’ban 1443 / 22 Mac 2022