Majlis Penghargaan
Pegawai dan Kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan
Jabatan-Jabatan di bawahnya telah diadakan pada petang ini bertempat di Dewan
Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC).
Hadir selaku Tetamu Kehormat di majlis tersebut
ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang
Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof, Menteri Pengangkutan dan
Infokomunikasi.
Majlis ini dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah
yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Mohammad Alihan bin Abusamah, Pemangku
Imam Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB). Seramai 66 pesara bagi tahun 2018 dan 2019
telah menerima sijil dan cenderahati yang telah disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi
pada majlis berkenaan. Majlis ini diadakan untuk menghargai bakti dan jasa yang
disumbangkan sepanjang berkhidmat dengan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Turut hadir ialah Awang Haji Mohammad Nazri bin
Haji Mohamad Yusof; Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan
Infokomunikasi, Awang Haji Hairul Mohammad Daud bin Haji Abdul Karim; Timbalan
Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Pengarah-Pengarah, Ketua-Ketua Jabatan dan
Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan
Jabatan-Jabatan di bawahnya serta Pihak Berkuasa yang berkenaan.