Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Ahad, 29 Disember 2019 - Berjalan, Berlari Dan Berbasikal Untuk Amal Sempena Sambutan Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Kemalangan Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia 2019



Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR)  telah menganjurkan acara Berjalan, Berlari dan Berbasikal Untuk Amal bertempat di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan hari ini.

Acara ini dikendalikan buat kali pertamanya oleh MKKJR dan diadakan sempena Sambutan Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Kemalangan Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia 2019. Acara tersebut dibahagikan kepada tiga kategori iaitu berjalan 3km, berlari 6km dan berbasikal 12km.

Hadir dan juga turut serta dalam acara tersebut ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Apong; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Md Isham bin Haji Jaafar; Menteri Pembangunan,  Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib Bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof, selaku pengerusi MKKJR; Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap.

Acara larian amal itu turut diserikan dengan pelbagai acara permainan yang menarik bagi seisi keluarga termasuk pameran dan aktiviti yang mempromosikan kesedaran mengenai amalan-amalan pemanduan selamat kepada orang ramai dan khususnya kepada para belia, yang mana merupakan salah satu kumpulan sasaran bagi MKKJR. Pameran pada hari ini disertai oleh agensi-agensi yang berkepentingan dan yang memainkan peranan dalam keselamatan jalan raya antaranya adalah Jabatan Bomba dalan Penyelamat (BFRD), Jabatan Alam Sekitar dan Rekreasi (JASTRe), Takaful Brunei Am (TBA), Persatuan Bulan Sabit Merah, Persatuan Motorsikal Darussalam (PEMODA), Brunei Darussalam Cycling Federation (BDCF), Automagination Services Sdn. Bhd., ELFERA Health & Nursing Care Sdn Bhd, Schlumberger, Nostalgic Motor Vehicle Association (NMVA), RYS Entertainment dan Perwakilan daripada Persatuan Peniaga Automobil Brunei iaitu Pad Motors; Premier Motors;  TCY Motors; dan NBT Toyota (B) Sdn. Bhd.

Hasil kutipan acara larian berkenaan telah disumbangkan sepenuhnya dan dibahagikan kepada SMARTER Brunei, YASKA Brunei, dan Demensia Brunei. Sumbangan kepada YASKA Brunei diserahkan oleh YB Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, manakala kepada SMARTER Brunei diserahkan oleh YB Menteri Kesihatan, dan kepada Demensia Brunei diserahkan oleh YB Menteri Pembangunan. Acara juga diselajurkan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang peraduan merekabentuk e-poster dalam program Perkhemahan Belia oleh YB Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Pada tahun ini, Sambutan Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Kemalangan Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia membawa tema "Life is not a car part". Hari Memperingati Mangsa-Magsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia ini merupakan inisiatif antrabangsa yang bertujuan untuk memperingati mangsa-mangsa lalu lintas jalan raya serta keluarga mereka yang turut terkesan akibat kemalangan jalan raya. Selain itu, inisiatif ini juga memberikan peluang untuk menggariskan peranan pelbagai pihak yang terlibat seperti perkhidmatan perubatan dan kecemasan, penyelamat, sector swasta, penyelidik dan akademia, serta masyarakat umum dalam menangani kesan dan akibat dari kemalangan jalan raya.

 

 

Disediakan oleh:

Unit Perhubungan Korporat

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi

Attachments