Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Khamis, 12 Disember 2019 -Majlis Keugamaan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi Sempena Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Jalan Raya dan Hari Penerbangan Awam Antarabangsa 2019

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Jabatan-Jabatan di bawahnya serta Pihak-Pihak Berkuasa telah mengadakan Majlis Keugamaan Sempena Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia dan Hari Penerbangan Awam Antarabangsa 2019 pada hari Khamis 12 Disember 2019. Majlis dikelolakan bersama oleh Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan telah diadakan di Masjid Ash Shaliheen, Jabatan Perdana Menteri, Bandar Seri Begawan.

Majlis ini diadakan dengan tujuan bagi memohon keberkatan dan keredhaan Allah Subhanahu Wata’ala untuk keselamatan negara ini, terutamanya pengguna-pengguna jalan raya serta penyediaan dan pengawalseliaan perkhidmatan-perkhidmatan udara agar sentiasa diberikan perlindungan dari kemalangan dan perkara-perkara yang tidak diingini.
 
Majlis tersebut dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah diikuti dengan Bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran. Majlis diteruskan dengan Sembahyang Fardhu Isya’ berjemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid Ash Shaliheen, Awang Anuar bin Haji Salim.
 
Bagi Majlis Sempena Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalulintas Jalan Raya Sedunia 2019 ianya telah diadakan senegara iaitu di ke-empat daerah pada petang ini.  Hadir di Daerah Brunei Muara ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib Bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi; Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; Haji Hairul Mohammad Daud bin Haji Abdul Karim, Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi); Pengiran Haji Mohd Zain bin Pengiran Haji Abdul Razak, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan). Majlis juga turut dihadiri oleh Ahli-Ahli MKKJR, Ketua-Ketua Eksekutif, Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta Jabatan-Jabatan di bawahnya dan Pihak-pihak Berkuasa.


Majlis yang sama juga turut diadakan di Daerah Belait, bertempat di Masjid Pekan Seria, Kuala Belait, dan turut dihadiri oleh Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin, Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Sungai Liang; Yang Berhormat Hanapi bin Mohd Siput, Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Pemangku Penghulu Mukim Labi; dan Yang Mulia Awang Ramlee bin Haji Jamudin, Pegawai Daerah Belait. Sementara itu, bagi Daerah Tutong dihadiri oleh Yang Berhormat Hj Umarali bin Esong, Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Yang Mulia Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd. Hussain, Pegawai Daerah Tutong dan telah diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong. Manakala bagi Daerah Temburong telah diadakan di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, dan turut dihadiri oleh Yang Mulia Awang Abdul Ghani bin Haji Othman, Pemangku Pegawai Daerah Temburong.




Dalam kesempatan ini, MKKJR menyeru kepada semua pengguna jalan raya untuk memulakan setiap perjalanan dengan doa disamping meningkatkan kewaspadaan ketika berada di jalan raya dengan sentiasa mengamalkan sikap pemanduan yang berhati-hati, berdisiplin dan bertimbang rasa, serta memberikan tumpuan dan perhatian penuh ketika memandu di jalan raya, sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalulintas jalan raya demi menjaga keselamatan bersama dan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
 
Jabatan Penerbangan Awam juga ingin menyeru kepada orang ramai supaya sentiasa peka akan pentingannya  keselamatan dalam sektor penerbangan awam. Selain dari memastikan  barangan bawaan tidak mengandungi barang-barang tegahan, adalah penting akan sentiasa berwaspada keatas keselamatan barangan masing-masing dan mematuhi peraturan-peraturan yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerbangan Awam dan syarikat-syarikat penerbangan awam.
 
Disediakan oleh:
Unit Perhubungan Korporat
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
12 DISEMBER 2019


Attachments