Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Khamis, 28 Mac 2019 - Bengkel Tiga Hari Penyiasatan Keselamatan Marin Selesai Dilaksanakan
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan Republik Singapura melalui Biro Penyiasatan Keselamatan Pengangkutannya (TSIB) telah mengadakan bengkel selama tiga hari mengenai Penyiasatan Keselamatan Marin bermula 26 hingga 28 Mac 2019. Bengkel tersebut sebagai sebahagian daripada perlaksanaan Memorandum Persefahaman Dalam Kerjasama Berkaitan Kemalangan Marin dan Pesawat yang ditandatangani oleh kedua buah kementerian pada 10 Oktober 2017 diadakan di Wafa Hotel and Apartment, Beribi.

Bengkel yang diadakan ini bertujuan untuk berkongsi pengalaman mengenai tatacara mengendalikan siasatan keselamatan bebas keatas kemalangan marin selaras dengan Casualty Investigation Code dibawah Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO). Tujuan siasatan keselamatan adalah untuk mencegah berlakunya insiden dari berulang dan demi meningkatkan keselamatan maritim dengan mengambil iktibar daripada kemalangan yang pernah berlaku.




Pelatih bagi bengkel tersebut ialah Kapten Jamaludin bin Jaffar dari Biro Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan dan Kapten Mohamed Harun bin Ja’affar dari Autoriti Maritim dan Pelabuhan (MPA) Singapura.  Seramai 26 orang peserta menghadiri bengkel berkenaan termasuk pegawai-pegawai dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta pasukan penyiasatnya; Pejabat Peguam Negara; Pasukan Polis Diraja Brunei yang terdiri daripada Jabatan Siasatan Jenayah dan Polis Marin; Tentera Laut Diraja Brunei; Pusat Penyelarasan Mencari dan Menyelamat Kebangsaan; Jabatan Bomba dan Penyelamat; Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD) dan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) Sendirian Berhad.

Bengkel tiga hari ini diakhiri dengan penyampaian sijil kepada semua peserta.


Disediakan oleh:
Unit Perhubungan Korporat
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi


Attachments